Wednesday, July 31, 2013

Bagaimana cara anda menulis novel?



Terus sahaja, atau anda membuat rangka terlebih dahulu? Ada penulis novel yang merangka di dalam kepalanya, dan dia ingat semuanya. Bagi saya sendiri, saya tidak mampu merangka tanpa mencatitnya di mana-mana. Saya kagum pada penulis novel yang mampu menghasilkan karya bermutu dengan merangka di dalam fikirannya sahaja.

Bagi kita yang menulis novel dengan cara biasa ini (dengan membuat catatan kerana sifat manusia yang pelupa ini), anda tentu ada cara merangka manuskrip anda. Setiap penulis novel mempunyai cara masing-masing, mengikut keselesaan dan kemampuan masing-masing juga. Saya akan membincangkan tentang dua cara merancang yang biasa digunakan-iaitu merangka berdasarkan watak dan merangka berdasarkan plot cerita.

Setiap satu cara itu mempunyai kelebihan masing-masing. Seorang penulis novel yang merangka karyanya melalui watak biasanya mempunyai satu kertas/tempat catatan yang disusun mengikut nama watak-watak di dalam ceritanya. Dari situ, penulis novel ini akan menulis apa sahaja berkaitan setiap wataknya seperti rupa, sikap, apa sahaja konflik yang dihadapi oleh watak-watak ciptaannya dan sebagainya. Sambil itu, dia akan menulis ceritanya dan menggabungkan watak-watak tersebut. Penulisan sebegini akan membuatkan watak kelihatan hidup, tidak lari dari segi sikap, rupanya dan kisah dan penyelesaian bagi setiap watak tidak tergantung dan selesai dengan elok. 

Malangnya, anda tidak boleh bergantung pada teknik sebegini semata-mata. Menulis sebegini boleh membuatkan konflik menjadi meleret dan sukar merangka penyelesaian cerita. Contohnya, pernahkah anda melihat drama bersiri Indonesia di televisyen yang disiarkan setiap petang. Sebagai penulis, anda tentu perasan bagaimana hidupnya watak baik dan jahatnya, tetapi ceritanya berulang-ulang dan menjemukan. Cerita sebegini, jika tidak ditonton selama seminggu sekalipun, anda masih tidak ketinggalan apa-apa, kerana anda telah boleh menjangka apa yang akan terjadi.

Bagaimana pula merangka menggunakan plot semata-mata? Contohnya, anda telah merangka apa yang akan terjadi di bab pertama, kedua dan seterusnya sehinggalah anda telah tahu apa yang akan ditulis di bab akhir . Kebaikan menulis sebegini, cerita anda akan jadi kemas, setiap bab ada signifikannya pada bab yang lain, contohnya satu kejadian di bab tiga rupa-rupanya amat penting dan cerita tentangnya timbul semula di bab enam belas! Maksudnya, jika pembaca lompat beberapa perenggan, mungkin dia akan rugi dan tidak faham apa yang berlaku di bab yang berkait dengannya itu. Jadi, pembaca tidak akan mahu tertinggal membaca walau sebaris!

Malangnya, cara begini juga ada kekurangannya. Sekiranya anda hanya bergantung pada plot, cerita anda akan jadi kaku, dan watak akan kurang hidup. Mungkin pembaca akan berasa seperti membaca rencana pula.

Kesimpulannya, anda mesti bersedia untuk menulis berdasarkan kedua-dua teknik ini. Anda haruslah mempunyai satu catatan berdasarkan watak-watak dan satu lagi catatan berdasarkan plot antara bab-bab. Dengan gabungan dua cara ini, cerita anda akan nampak hidup dan menarik plotnya. Namun, saya ingin menambah satu lagi cadangan. Kalau boleh, plot anda itu janganlah terlalu tetap, sehingga tidak berubah-ubah lagi. Sekiranya sesuai dan perlu, anda ubah suailah sedikit sebanyak. Apabila anda tidak berasa terkongkong, penulisan novel anda akan menjadi lebih bebas, dan karya anda akan menjadi lebih menarik.

Semoga artikel ini bermanfaat untuk anda, Insya Allah.

Dipetik daripada: http://nurulsham-saidin.blogspot.com/

1 comment:

  1. Setelah membaca artikel anda ,saya salute dengan pendapat anda .Itulah yang saya cuba luahkan kepada pencinta bahasa mengenai novel Cinta keluaran penulis-penulis wanita tanah Air. Pada pandangan peribadi saya terdapat angin perubahan besar yang berlaku dalam industri penulisan novelcinta ini. Penulis movel cinta ii dapat diategorikan kepada tiga kumpulan . 1) .Novel Urban. 2) novel biasa 3) Novel yang di buat degan bahasa persekolahan yang berbentuk sastera. Semasa mengulas ketiga-tiga kategori ini, Saya dapat melihat kecenderugan pembaca lebih kepada kategori NovelUrban.Bahasa yang santai dan mereka ini serious dalam berkarya kerana karya mereka ada perancangan siapdengan research yang mengkagumkan. Novel kedua lebih kepada pembaca umum tapi penulisan mereka tetapjuga diterima olehmasyrakat. Kategori ketiga novel untuk kegunaan sekolah. Apa pun Novelkategori pertama dan kedua memang mendapat sambutan pembaca. Kategori mendapat purata jualan RM 600,000.00. Setengah dari mereka mendapattaraf ' Bestseller' . Kita kena mengiktiraf mereka yang membawa angin perubahanini.Mereka telah mampu menigkatkan tahappendapatan mereka.Akhbar Berita Harian perlu mengadakan kategori penulis novel terlaris dipasaran. Ini pendapat peribadi saya.

    ReplyDelete