Tuesday, February 24, 2015

Teaser #3: KERANA LAMARAN ITU - XUANZA




“GOOD MORNING EVERYONE!”
Iman tayang muka yang cukup manis sampai boleh dapat kencing manis. Lepas tu, dia tarik kerusi dan terus duduk sebelah aku.

“Waalaikumsalam.”
Saja aku sindir dia. Ini semua dia punya pasal. Kalau dia tak ajak aku tengok cerita ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’ mesti aku tak liat bangun pagi. Kepala pun dah terasa ting tong sebab bangun terkejut.
“Amboii...perli nampak.” Dia jeling aku.
Eleh..bajet tajamlah jelingan dia. Aku jungkit kening sambil selamba kunyah sandwich. Tak tengok pun dia.

Ayah hanya senyum sambil selak surat khabar. Faham sangat dengan perangai tak cukup umur anak-anak dara dia dua orang ni. Maklumlah aku dengan Iman ni hanya dua beradik je dunia dan akhirat. Kamilah cyanide dan kami jugalah serumnya.
“Ni apa bising-bising? Sampai ke dapur dengar, Amal, Iman?” tanya ibu sambil tarik kerusi sebelah ayah.

“Bibik mari makan sekali. Tinggalkan dulu kerjanya. Lepas makan baru sambung balik,” panggil ibu.
Tak lama lepas tu bibik muncul dan duduk sebelah ibu. Bibik senyum kat aku. Aku balas senyuman dia. Tiba-tiba mata aku bertembung dengan mata ibu. Aku mula rasa tak sedap hati. Hish..lain macam je ni.
Okay get ready...Get set go!
“Ayah, ibu..Amal nak pergi kerja dulu ya.” Cepat-cepat aku sudahkan suapan yang terakhir dan minum sikit air Milo. Lepas tu, aku terus bangun.

“Awal lagi...kunyah pun tak habis. Tu air milo pun tak sampai separuh minum. Duduk dulu ada benda ibu nak cakap.” Akhirnya terpaksa aku duduk balik bila mata helang ibu dah menikam mata aku.
Hadoyai...bala ni. Ya Allah selamatkanlah hambamu ini.
“Anak ibu yang sulung ni bila nak kahwin?’’
Aku dah agak mesti ibu nak cakap pasal hal ni. Macam dah tak ada topik lain kalau tengok muka aku. Aku rasa inilah soalan paling susah aku nak jawab. Lagi susah daripada paper Pharmaceutical Analysis.
“Amal?”
“Ya ibu.”
“Ibu tanya ni.”
“Err.. heh..” Tergagap-gagap aku nak jawab. Mulalah tangan, kaki semua nak berpeluh. Silau rasanya tengok panahan mata laser ibu.
“Hmm..Amal tak ada kawan lelaki ke?”
Bang!
“Sampai bila tak nak kahwin?”
Bang! Bang!

Tembakan ibu tepat kena sasaran. Terus menusuk ke jantung hati.
“Tak teringin nak ada keluarga sendiri ke? Kawan-kawan Amal semua dah kahwin. Kalau ada yang tak kahwin pun sekurang-kurangnya dah bertunang. Amal ni bila lagi? Takkan nak hidup solo sampai ke tua. Ibu dengan ayah ni bukan nak menongkat langit. Sampai masanya nanti kami akan tinggalkan dunia ni juga.”

Aku diam. Bila soal jodoh ni dibangkitkan, hati aku mesti rasa pedih. Siapa yang tak teringin nak buat rumah ada tangga. Aku dah puas berdoa semoga aku akan bertemu dengan jodoh aku, tapi nak buat macam mana kalau putera idaman yang aku tunggu tu tak muncul lagi.
“Amal! Dengar tak ibu cakap ni?” Terkejut aku dengar suara ibu dah naik. Mesti ibu dah naik angin tengok aku termenung.
“Amal dengar.” Sengih.
“Jadi bila Amal nak kenalkan kat ibu calon?” Aku mula garu kepala.
“Nanti Amal dah jumpa Amal kenalkan kat ibu.” Aku sengih lagi. Ibu mula pandang aku semacam.
“Ke Amal masih menunggu seseorang?” Tembak ibu.

Aku tersentak. Suasana tiba-tiba jadi senyap sunyi. Semua mata pandang ke arah aku.

0 comments:

Post a Comment