Thursday, September 12, 2013

MENANGANI KARYA TERBENGKALAI



BUKAN   membina rumah sahaja yang terbengkalai.  Menulis juga seringkali terbengkalai. Puncanya kerana tidak ada idea atau ketandusan idea untuk meneruskan kerja-kerja penulisan novel. Ia bukan sahaja dialami mereka yang baru menulis, malah kadangkala mereka yang sudah biasa menulis juga mengalamai perkara yang sama.
          
Pembinaan rumah yang terbengkalai disebabkan banyak faktor. Di antaranya kekurangan dana, kekurangan bahan binaa, kekurangan tenaga kerja, masalah cuaca dan sebagainya. Tetapi kekurangan dana atau bajet untuk membina rumah menjadi punca utama. Jika ada dana, semua kekurangan-kekurangan kecil akan dapat di atasi.  

Dalam hal penulisan, kekurangan idea menjadi penyebab utama kerja-kerja penulisan terhenti kemudian terbengkalai. Puncanya kerana tidak ada jadual atau perancangan semasa memulakan kerja penulisan novel. 
  
Jika ada perancangan rapi, kerja penulisan tidak akan terbengkalai. Sebagaimana mahu menyiapkan sebuah rumah, paling asas adalah tapak rumah, kemudian pelan rumah, kemudian bahan-bahan binaan, disusuli dengan perkara lain yang kurang penting.


Menulis novel mesti ada rangka. Rangka yang akan menjadi terbengkalai atau tidak novel yang akan kita tulis. Sebagai contoh, novel mesti ada jalan cerita atau sinopsis. Setelah ada sinopsis, perlu ada langkah pertama menulis novel.

Sebagai contoh BAB pertama. Perlu dicatitkan apakah cerita atau konflik yang hendak disampaikan. Ada konflik, ada watak, ada latar barulah kerja penulisan boleh dimulakan. Untuk memudahkan sila catitkan daripada BAB 1 sehingga BAB akhir apakah konflik atau cerita yang hendak disampaikan.

Apabila setiap bab sudah dicatitkan, tugas penulis ialah menulis berpandukan apa yang telah dicatitkan. Habiskan setiap awal dahulu sebelum menyiapkan bab seterusnya. Maksudnya siapkan bab pertama, kemudian kedua, ketiga dan seterusnya sehinggalah selesai.

Bukan tidak boleh menulis melangkahi bab, misalnya siap bab ketiga kemudian menulis bab keenam atau seterusnya. Cara begini tidaklah praktikal walaupun sudah rangka atau garis panduan, tetapi itu hanyalah sebagai panduan sahaja. Mungkin ketika menulis,  ada idea baru muncul dan tidak termasuk dalam catitan dan rasanya perlu dimasukkan.

Sebaik-baiknya menulislah mengikut rangka atau jadual yang sudah ditetapkan. Jika satu hari mesti siapkan satu bab, mesti siapkan walaupun apa pun terjadi. Menulis tidak mengikut rangka atau jadual, inilah yang menyebabkan karya terbengkalai. Untuk menyambung semula, kita terpaksa membaca semula sejak awal, jika tidak, urutan cerita sukar hendak dijalinkan kerana kita sudah terlupa isi cerita. 

3 comments:

  1. terimakasih atas panduannya...sebaiknya tuliskan storyline dulu..plot demi plot..tapi mood juga penting

    ReplyDelete
  2. Satu tips yang amat berharga...terima kasih Hayati Ahmad.

    ReplyDelete
  3. terima kasih untuk perkongsian di atas.

    ReplyDelete